'Ustazah mee Segera' tegur Ustazah Mashitah


Kuala Lumpur – Perwakilan Wanita Umno Kedah, Datuk Dr Mashitah Ibrahim digesa menegur dunia hiburan seperti rancangan televisyen yang melalaikan terlebih dahulu dan bukannya menegur mereka yang telah berhijrah.
Bekas pelakon Gerak Khas, Abby Abadi berkata, Mashitah sepatutnya lebih peka dalam isu membabitkan gejala sosial remaja yang semakin membimbangkan.
“Kesal bila beliau lebih risaukan dengan wujudnya mereka yang berhijrah mengikut ajaran Islam sedangkan hiburan di televisyen yang semakin melalaikan beliau tidak ambil peduli.
“Jika beliau berpendidikan agama sepatutnya berbangga dengan penghijrahan golongan-golongan artis yang semakin ramai mendekati agama,” katanya yang dipetik Harakahdaily.
Abby mengulas kenyataan Dr Mashitah yang menggesa kerajaan supaya memantau kewujudan golongan ‘ustaz’ dan ‘ustazah’ ekspres yang kini dilihat terlalu ramai dan sangat membimbangkan.
“Kita sangat bimbang dengan kewujudan ustaz dan ustazah ekspres yang berada di dalam PAS yang bijak bercakap tentang hukum-hakam dalam Islam,” kata Dr Mashitah ketika membahas usul Pendidikan dan Agama pada Perhimpunan Pergerakan Wanita UMNO di PWTC, di sini, pada Rabu.
Jelas Abby, dalam berdakwah perlu menggunakan pelbagai kaedah bagi menarik lebih ramai untuk hadir ke majlis-majlis ilmu terutamanya golongan remaja.
“Saya selalu mengikuti majlis-majlis ilmu yang disampaikan sama ada dalam bentuk hiburan, lawak atau sebagainya, bagi saya itu bukan satu kesalahan.
“Malah saya melihat lebih ramai mereka yang hadir mengikuti majlis-majlis ilmu kerana bagi mereka penyampaian tersebut memberi kesan kepada pemahaman tentang apa yang mereka ingin ketahui,” katanya.
Ujarnya, mengajak orang kepada Islam itu merupakan tanggungjawab setiap manusia yang mengucap dua kalimah syahadah dan tidak perlu bimbang kerana mereka bukannya merupakan ancaman kepada mana-mana pihak.
“Kalau kita tidak mampu untuk mengajak orang lain kepada Islam kerana menjaga jawatan, kita tidak perlu menghentikan usaha orang lain.
“PAS mempunyai tanggungjawab dalam menjadikan setiap mereka yang bersama parti itu berurusan mesti mengikut kaedah Islam yang sebenarnya,” katanya lagi.
Sumber : suara.tv

0 Response to "'Ustazah mee Segera' tegur Ustazah Mashitah"

Post a Comment