Sudarsono Jawab kritikan TMJ

“SAYA tidak mengabaikan tanggungjawab selaku pengurus pasukan skuad Harimau Malaya. Saya sentiasa memberi komitmen sepenuhnya tetapi disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan, saya tidak berkesempatan untuk bersama-sama pasukan ketika mereka menjalani latihan di padang rumput tiruan di Kluang, Johor baru-baru ini.”
Demikian respons Datuk Sudarsono Osman (gambar kecil) terhadap kritikan yang dilemparkan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap beliau baru-baru ini.
Menurut Sudarsono yang merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), walaupun tidak dapat bersama-sama pasukan tetapi dia tetap memantau perkembangan mereka dan meminta pihak-pihak tertentu agar tidak menyalahtafsirkan ‘kehilangannya’.
“Sebenarnya, saya ada bersama skuad kebangsaan ketika mereka menjalani latihan di Wisma FAM tetapi bukanlah setiap hari kerana saya menetap di Kuching, Sarawak.
“Meskipun banyak tugasan dan komitmen lain yang perlu saya hadiri tetapi saya sentiasa mencuba untuk bersama-sama pasukan. ‘Hilang’ tidak bererti saya mengabaikan tanggungjawab saya.
“Dari segi komunikasi dengan pasukan tidak ada masalah kerana saya sentiasa berhubung dengan ketua jurulatih saya (Dollah Salleh) bagi memantau perkembangan mereka.
“Kita tidak boleh samakan bola sepak Malaysia dengan bola sepak di Eropah. Pengurus pasukan bola sepak di Eropah merupakan tugas sepenuh masa dan mereka tidak mempunyai komitmen lain,” kata Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak itu kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi latihan skuad Harimau Malaya di padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil semalam.
Kelmarin, Tunku Ismail membidas Sudorsono selepas kelibat beliau tidak kelihatan ketika Harimau Malaya menjalani latihan di padang rumput tiruan di Kluang, Johor.
Tunku Ismail selaku penasihat kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyifatkan tindakan Sudarsono itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana tidak memberi komitmen terhadap perkembangan pasukan.
Sumber Artikel

0 Response to "Sudarsono Jawab kritikan TMJ"

Post a Comment